Laporan/foto:Mohd Muhaimin Amran

MELAKA, 29 Apr (Udabayas) – Penganjuran Program Mini Karnival Keselamatan dan Pencegahan Jenayah Peringkat Daerah Melaka Tengah telah berjaya menyuntik semangat pihak komuniti setempat melalui Skuad Rondaan Sukarela (SRS) yang turut bersepakat membantu pihak polis menjalankan tanggungjawab membanteras sebarang kegiatan jenayah yang berlaku dalam komuniti setempat.

Mohd Rafiq (empat dari kiri) merasmikan Mini Karnival Keselamatan dan Pencegahan Jenayah.

Program yang berlangsung di Padang (Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Krubong Jaya Fasa 2, julung kali diadakan oleh Pejabat Perpaduan Daerah Melaka Tengah bersama Polis Diraja Malaysia negeri Melaka telah memberi kesedaran kepada masyarakat tentang keperluan kerjasama membanteras jenayah dari peringkat awal supaya komuniti setempat sentiasa dalam keadaan selamat.

“Masalah jenayah semakin kerap berlaku di kawasan perumahan disebabkan kawasan terbabit kurang mendapat pengawasan pihak polis berbanding kawasan bandar,” ujar Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Raiz Mukhliz Azman Aziz

Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, dalam ucapannya berkata, beliau berharap agar masyarakat turut serta dalam sebarang aktiviti pencegahan jenayah diperingkat kampung, taman dan juga komuniti setempat melalui SRS Kawasan Rukun Tetangga (KRT) yang ditubuhkan.

“Saya turut berharap masyarakat memahami segala dasar serta inisiatif yang diperkenalkan kerajaan adalah untuk memelihara perpaduan dan keselamatan masyarakat,” ujarnya.

Turut hadir Pegawai Perpaduan Daerah Melaka Tengah, Nadiatul’Ain Md Saharif dan ketua-ketua balai, Balai Polis Daerah Melaka Tengah.

 

-KN