Laporan : Mohd Zaid Awang (Gombak)

Foto : Berita Harian  

RAWANG, 8 Ogos (Udabayas) – Sebuah tapak pelupusan sampah haram terbakar sejak beberapa hari yang lalu berhampiran Kilang Papan Calidonia, Batu Arang, di sini.

Menurut Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor telah membuat pemantauan dan mendapati kawasan kebakaran dianggarkan seluas dua ekar yang merupakan kawasan lombong terbiar.

Menurut UPBN lagi, operasi memadamkan api masuk  hari kedua dan sampah haram dikenal pasti daripada bahan binaan serta domestik, namun jarak kebakaran dengan kawasan perumahan adalah jauh.

 

Sementara itu, Ketua Zon 6 Bomba Gombak dan Hulu Selangor, Muhd Sabri Jamalludin, berkata seramai 11 anggota Bomba terlibat dalam operasi pemadaman sejak semalam.

“Balai Bomba Batu Arang menerima panggilan petang semalam dan pemadaman berjaya dikawal lebih kurang 10 peratus dan disambung hari ini.

“Bomba menghadapi kesukaran mendapatkan air terbuka kerana jarak yang jauh dan memerlukan jentera jengkaut untuk memunggah sisa-sisa sampah agar api dapat dipadamkan dengan sempurna,” jelas beliau.

 

Menurutnya lagi, beliau memohon bantuan pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu operasi tersebut.

 

“Saya nasihatkan kepada semua petugas operasi pemadaman agar memakai penutup hidung kerana bahan terbakar adalah sisa industri dan perlu membuat pemeriksaan kesihatan apabila keluar dari lokasi kebakaran,” ujarnya.

-NAZ