Laporan: Asmidar Z. / Foto: Jeffren M. 

KOTA KINABALU, 10 Ogos (UdaBayas) –  Bakat tempatan digalakkan untuk menceburi bidang penghasilan filem pendek sebagai usaha mempromosikan budaya, sejarah, flora dan fauna negeri ini kepada masyarakat dalam dan luar negara.

Pengarah Operasi Scubazoo Images Sdn Bhd, Terence Lim berkata, pihaknya bersedia untuk membantu mereka menerbitkan karya-karya untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Kami menyediakan peluang, bimbingan dan platform kepada mereka yang berminat menghasilkan karya-karya yang berkualiti untuk diterbitkan di webtv scubazoo.tv yang telah mempunyai lebih 500 ribu penonton sejak diwujudkan tiga bulan lepas selain peluang untuk terbitan antarabangsa seperti di NatGeo, Discovery Channel dan sebagainya.

“Kita mempunyai banyak mekanisme untuk membantu karyawan antaranya dengan menjadi penerbit bersama, mendapatkan jaringan rangkaian yang berminat untuk melabur menghasilkan program-program ini selain bekerjasama dengan FINAS.

“Ini peluang baik kepada anak muda dan pembuat filem tempatan. Sekiranya mereka ada cerita yang mahu tunjukkan, inilah masanya,” ujarnya selepas tayangan filem pendek Borneo Wildlife Warriors musim kedua bersama media di sebuah hotel di sini, pada Rabu.

Terence (empat dari kanan) dan Jason (dua dari kanan) bergambar dengan sebahagian daripada ranjer dan doktor WRU

Selain itu, Terence turut memaklumkan matlamat penubuhan syarikatnya adalah untuk membangunkan bakat dan kreativiti penduduk setempat agar setanding dengan masyarakat antarabangsa.

“Kita mempunyai ramai anak tempatan yang berbakat dan saya amat yakin mereka ini juga setanding dengan orang di luar sana.

“Kami tidak dapat menjelajah dan menghasilkan semua cerita tentang Sabah dan Borneo. Maka ini peluang kepada mereka yang minat dalam bidang ini,” jelasnya.

Menurut Terence, cerita-cerita yang dihasilkan perlulah pendek dan padat dengan anggaran lima hingga enam minit sahaja.

“Masyarakat kini menggunakan telefon bimbit dan mereka hanya akan menonton video antaradua  hingga tiga minit sahaja. Sekiranya agak panjang, mereka akan cepat jemu. Gunakan tiga minit itu untuk menunjukkan cerita anda kepada mereka,” terangnya.

Scubazoo Images Sdn Bhd telah ditubuhkan sejak 20 tahun lalu bermula daripada rakaman pelancong-pelancong di dasar laut Pulau Sipadan dan seterusnya berkembang dengan rakaman di darat.

Terdahulu, pihak Scubazoo Images Sdn Bhd dengan kerjasama Wildlife Rescue Unit (WRU) melancarkan cerita pendek Borneo Wildlife Warriors musim kedua dengan enam episod yang memaparkan kisah Beruang Madu diselamatkan, anak Gajah Borneo dan membantu Borneo Elephant Santuary, menempatkan semula gajah, menyelamatkan ibu dan orang utan.

WRU merupakan badan bukan kerajaan kumpulan elit yang disertai oleh empat doktor haiwan dan 18 ranjer dengan misi menyelamatkan haiwan liar di negeri ini.

Menurut Pengarah Urusan Scubazoo.tv, Jason Isley, program berkenaan ditayangan dalam Bahasa Inggeris dengan sari kata Bahasa Melayu yang dihoskan oleh Aaron ‘Bertie’ Gekoski bakal bersiaran pada setiap hari Rabu, pukul 4.00petang menerusi  laman Youtube/ScubazooTV, FB.me/scubazoo.tv, inatagram @sz.tv dan twitter @ScubazooTV.