Laporan/foto: Mohd Zahari bin Zakaria (Seberang Perai Tengah)

 

PERMATANG PAUH, 7 Jan (UdaBayas) – Pertembungan 3 buah kenderaan dalam kemalangan jalan raya yang berlaku di Penanti pagi tadi telah mengejutkan orang  ramai disekitar kawasan tersebut.

Kemalangan yang melibatkan 3 buah kereta iaitu sebuah Perodua Kancil, Nissan Sunny dan sebuah teksi jenis Proton Wira itu telah  menyebabkan 3 orang cedera dan 1 orang parah.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang tiba dengan sebuah jentera dan sebuah pacuan 4 roda hasil panggilan kecemasan oleh seorang mangsa, mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang terlibat daripada kenderaan.

Proses memadam api dan mencuci bahan kimia yang dibawa oleh salah sebuah kenderaan berjaya dilakukan anggota bomba.

3 mangsa yang cedera diberi rawatan segera dan dibawa oleh Unit EMRS ke hospital.

Seorang mangsa yang tersepit dalam sebuah kereta pula dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas, di mana anggota bomba terpaksa memotong bumbung kereta.

Mangsa diberikan rawatan dan dibawa dengan Unit Udara JBPM dengan menaiki helikopter untuk ke hospital.

Persembahan lakonan kemalangan jalan raya ini dilakukan sempena Majlis Perasmian Balai Bomba dan Penyelamat Penanti.

Seramai 1 pegawai dan 40 anggota bomba telah menjayakan persembahan ini sebagai memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan bagaimana bomba menggunakan aset mereka dalam melakukan proses memadam kebakaran dan juga menyelamat mangsa kemalangan.

Perasmian yang disempurnakan oleh Zuraidah Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini turut dihadiri Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Pegawai Kanan Bomba, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Timbalan Ketua Setiausaha KPKT, Adun Kawasan, Ahli Majlis, Bomba Sukarela, Bomba Komuniti, Ketua Jabatan Negeri dan Daerah.