Laporan dan Foto : Nur A A

KANGAR, 17 April (UdaBayas) – Transformasi Nasional 2050 (TN50) merupakan satu langkah yang diambil bagi mengorak negara ke arah masa depan yang lebih baik. Ia merupakan satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia yang cemerlang bagi tempoh tahun 2020 hingga 2050. Simboliknya, dalam bahasa yang lebih mudah TN50 adalah untuk membentuk satu negara bangsa yang benar-benar berwibawa dari segi ekonomi, sosial dan minda dan ia merupakan kesinambungan dari Wawasan 2020.

Sehubungan dengan itu, program mengenai penerangan TN50 telah dijalankan di Institut Perguruan Negeri Perlis yang dihadiri hampir 100 orang penuntut IPG. Program seumpama ini merupakan langkah bijak yang diambil kerana terdapat golongan belia yang masih lagi kabur mengenai TN50.

Menurut Tn.Affandi Rajni Khan, Timbalan Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, selaku penceramah TN50 berkata, “TN50 ini akan mewujudkan satu kumpulan belia yang berilmu dan berpendapatan serta berkemahiran tinggi. Bukan setakat hanya mempunyai ilmu tetapi juga pakar dalam dalam bidang yang dipilih”.

“Aspek paling penting untuk belia pada masa sekarang adalah bagaimana anda melihat dan menilai masa depan. Hal ini penting memandangkan kualiti pendidikan tinggi dan teknologi merupakan aspek yang semakin ditekankan sekarang”, tambah beliau lagi,

Nurul Fatin,21, pelajar dalam Jurusan Bahasa Arab berkata, “Sebelum program ini dijalankan, TN50 ini saya hanya tahu secara ringkas sahaja mengenai hal-hal semasa. Tetapi, dengan adanya program yang dijalankan di IPG ini ia memberikan saya pemahaman yang lebih luas. Sebelum ini, saya fikir TN50 menggantikan Wawasan 2020 tetapi sebenarnya ia merupakan kesinambungan dari Wawasan 2020’’.

Transformasi Nasional 2050 atau lebih dikenali sebagai TN50 bermatlamat untuk menjadikan negara di dalam kelompok 20 teratas dalam pembangunan ekonomi, kamajuan sosial dan inovasi”. Terdapat lima kumpulan utama yang ditekankan dalam TN50  ini iaitu Ekonomi dan Pekerjaan, Kehidupan dan Kesejahteraan, Tadbir Urus, Masyarakat serta Gaya Hidup.