Laporan/foto: Fasharina Kholil/Rasidi Che Sa (Sik)

SIK, 20 Nov (UdaBayas) – Nurish Fadhilah Mohammad Nasiruddin, pelajar tahun enam, Sekolah Kebangsaan Seri Ampang Muda (SKSAM) dianugerahkan sebagai Tokoh Pelajar (kurikulum) bersempena Hari Anugerah Cemerlang yang berlangsung di Dewan Ibnu Sina, SKSAM, di sini semalam.

Nurish mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan Percubaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan memperoleh 6A turut berharap agar dapat mengulangi kejayaan yang sama dalam peperiksaan sebenar yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Nurish (tengah) bersama-sama ahli keluarga sempena Hari Anugerah Cemerlang SKSAM semalam.

“Saya menyimpan hasrat agar dapat melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh dan telah menghadiri temuduga di Sekolah Sains Pokok Sena baru-baru ini,” ujarnya.

Dia yang bercita-cita menjadi seorang guru, berterima kasih kepada keluarga khususnya ibu dan bapa serta guru-guru yang banyak memberi sokongan, bantuan serta tunjuk ajar kepadanya.

Selain cemerlang dalam akademik, Nurish turut aktif dalam kegiatan di sekolah serta memegang beberapa jawatan termasuklah Pengawas Sekolah serta Pengerusi Kelab Kebudayaan.

Sementara itu, menurut ibunya, Nurul Hazalina Harun, tidak menyangka anaknya terpilih sebagai Tokoh Pelajar. Dia yang terharu dengan pengumuman itu berharap agar anak sulungnya itu, akan berjaya mencapai cita-cita serta menjadi suri teladan kepada adik-adiknya.

“Sebagai ibu, saya sentiasa mendoakan agar Nurish,adik-adik serta rakan-rakan mereka agar menjadi insan yang berjaya serta dapat menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.