Laporan dan foto disediakan oleh :  Edawati Sulaiman @ Hod ( Kuala Lumpur )

 

Kuala Lumpur, 19 Mac ( UdaBayas ) – Seramai tujuh pasangan dinikahkan secara serentak oleh jurunikah yang dilantik oleh Masjid Muadz bin Jabal pagi ini. Mereka merupakan pasangan yang terpilih bagi menerima bantuan perkahwinan dalam Majlis Mahligai Bahagia anjuran Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Cawangan Setiawangsa.

“Kita adakan program ini khusus untuk golongan belia yang telah sampai jodoh mereka untuk membina masjid. Melalui program ini mereka hanya perlu menyediakan wang mas kahwin sahaja dan yang selebihnya kita tanggung dari segi kelengkapan pelamin, baju, bunga telur dan makanan, ” demikian kata YB Dato’ Ahmad Fauzi Zahari sewaktu ditemuramah.

Program yang telah dirancang sejak tahun lepas lagi merupakan pertama kali diadakan di Parlimen Setiawangsa.

“Program ini akan dijadikan sebagai acara tahunan di Parlimen Setiawangsa” demikian tambah Ahmad Fauzi lagi.

Bagi Mohammad Zulikhwan Zulkifli dan pasangannya Nursuhadaq binti Halim berpendapat majlis pernikahan mereka yang mendapat bantuan daripada LKPI ini amat bermakna buat mereka.

“Saya merasa bertuah kerana dinikahkan serentak bersama pasangan lain di dalam satu majlis yang sederhana namun cukup meriah buat saya. Terima kasih kepada YB Senator Datuk Seri Abdul Halim Abd Samad dan jug YB Dato’ Ahmad Fauzi Zahari dan isteri beliau yang sama-sama hadir menyaksikan majlis bersejarah buat kami berdua,” demikian kata Norshuadaq.

Selesai upacara pernikahan pasangan pengantin telah berkesempatan bergambar bersama kesemua tetamu kehormat yang hadir bersama sebelum menikmati jamuan makan beradap yang turut disediakan oleh pihak penganjur.