Laporan & Foto : Pai S Y

KUANTAN, 29 Jun (UdaBayas) – Jabatan Perikanan Pahang melabuhkan 19 unit tukun tiruan konkrit jenis kuboid yang setiap satu seberat lima tan dan bernilai keseluruhan RM297,600 di perairan Sungai Ular, Kuantan.

Azahari Othman, Pengarah Jabatan Perikanan Pahang berkata, tukun tiruan itu berfungsi sebagai tempat pembiakan pelbagai jenis ikan seperti kerapu, kerisi, merah, selar kuning dan kembung selain udang dan sotong dengan dimensi 2.5x 2.5x 3 meter berbentuk segiempat kuboid.

Beliau berkata, kajian mendapati pelbagai jenis ikan, tumbuhan karang dan hidupan marin lain akan menjadikan tukun berkenaan habitat baharu selepas enam bulan tukun tiruan ditempatkan di kawasan terbabit.

Menurutnya lagi, setiap tukun disusun berada selang 4.5 meter antara satu sama lain manakala jarak tukun tiruan dengan pantai di kawasan terbabit ialah kira-kira lima batu nautika dan kedalaman laut lebih 15 meter.

Selain itu, tukun tiruan berfungsi sebagai penghalang atau penyekat aktiviti nelayan pukat tunda yang sebelum ini banyak dilaporkan di perairan negeri.

“Pembangunan projek kuboid merupakan kaedah pemuliharaan sumber perikanan dan dapat menambah pendapatan nelayan tempatan melalui projek tukun. Peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) digunakan untuk menjayakan projek tukun tiruan diperairan Sungai Ular, di mana kali terakhir tukun tiruan jenis kiub ditempatkan di kawasan terbabit pada 2009,” jelasnya lagi.

“Jabatan akan terus berusaha menyediakan lebih banyak tukun tiruan diperairan negeri ini bertujuan menambah taburan ikan selain menghalang aktiviti pukat tunda nelayan asing,” Beliau berkata demikian dalam sidang Media Majlis Pelancaran Tukun Tiruan Kuboid Dasar Lembut Penghalang Pukat Tunda Rekreasi Jabatan Perikanan di Jeti Padang Lalang, Kuantan.