Laporan/foto : Normah Sapa’in (Kelantan)

KOTA BHARU, 11 Mac (Udabayas) – Program Human Resource See You (HRCU) Zon Timur telah mengumpulkan seramai 100 orang kakitangan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dari Kelantan, Pahang dan Terengganu. Program anjuran KKMM ini berlangsung di Auditorium Jabatan Penyiaran Kelantan, Wakaf Che Yeh hari ini merupakan yang julung kali diadakan sebagai pembuka tirai di tahun 2019.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sumber Manusia KKMM, Emmy Safina Mohd Salim berkata, melalui program ini Bahagian Sumber Manusia KKMM dapat melaksanakan prinsip turun padang bersama Jabatan dan Agensi di Zon Timur. Ini selaras dengan prinsip yang perlu dibudayakan melalui ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’. Melalui program ini juga warga KKMM boleh mendapatkan maklumat serta penjelasan secara langsung berkenaan perkara-perkara berkaitan Sumber Manusia. Program turun padang ini dilihat lebih efeksi dalam menyelesaikan permasalahan penjawat awam.

“Sebarang permasalahan yang dihadapi dapat dijawab dan diselesaikan melalui Klinik HRCU yang menyediakan kaunter bagi pertanyaan mengenai perjawatan, perkhidmatan, HRMIS serta yang berkaitan pengurusan sumber manusia. Selain daripada Klinik HRCU, pelbagai pengisian lain lagi diadakan, antaranya Forum Motivasi, Pameran Info Grafik dan Kuiz Interaktif bagi manfaat penjawat awam KKMM Zon Timur.” Tambahnya lagi.

Penjawat Awam dari BERNAMA, Mohamad Syazwan Mohd Zaki, 28, berkata, beliau banyak belajar tentang HRMIS melalui Klinik HRCU hari ini. Sebagai penjawat awam yang baru, ini merupakan peluang untuk belajar, mengumpul pengetahuan berkaitan sumber manusia sepanjang perkhidmatan.

Manakala pendapat seorang pegawai dari JaPen Kelantan, Noriham Ahmad,53 berkata, kemusykilan beliau tentang umur, tempoh persaraan dan bayaran pencen telah terjawab melalui klinik HRCU ini. Program yang dianjurkan secara turun padang ini amat bermanfaat untuk seluruh warga KKMM.

Program ini banyak memberi pendedahan dan pengetahuan berkaitan pengurusan kerja secara lebih terperinci dalam melaksanakan tugasan harian sebagai penjawat awam. Program begini sememangnya mampu melahirkan impak positif di kalangan penjawat awam, khususnya di bawah jabatan dan agensi KKMM sendiri. Seluruh warga perkhidmatan awam hendaklah memberi komitmen padu dalam menjayakan hasrat kerajaan merakyatkan perkhidmatan awam. Turut hadir ke program, Pengarah Penyiaran Kelantan, Sukri Mohamad dan Pengarah Penerangan Kelantan, Lim Ann Teck .

-NAZ