Laporan/ foto: M Zakry Chan (Melaka)

KUALA LINGGI, 8 Jan (Udabayas) – Keunikan hutan paya bakar yang masih kekal di kawasan eko-pelancongan sekitar Paya Lebar-Linggi merupakan suatu ekosistem yang menarik dan unik untuk diteroka.

Zairi Suboh bersama tangkapan Udang Galah.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka, Zairi Suboh yang turut sama dalam memburu udang galah baru-baru ini, pengalaman menyusuri sungai Paya Lebar sambil memacing udang galah amat menyeronokkan.

“Bermula seawal pagi dari Jeti Pengkalan Nelayan Kampung Paya Lebar kami menyusuri lubuk-lubuk udang galah yang telah dikenal pasti. Umpan cacing dan anak udang digunakan untuk menarik perhatian udang galah disini.

“Perburuan kali ini berjaya mendapatkan tiga kilogram udang galah dan harganya boleh mencecah RM70 hingga RM90 sekilogram.

Katanya lagi, “di samping aktiviti memancing, pelbagai produk pelancong boleh dikunjungi sepanjang sungai ini antaranya lokasi penghasilan kayu arang dengan menggunakan kayu pokok bakau yang dihasilkan secara tradisional, Taman Lokan, Kompleks Sejarah Batu Hidup yang menyimpan peninggalan sejarah lebih lima ribu tahun dikawasan ini.”

 

-N