Oleh: M.Z Awe

SELAYANG, 4 Jan (UdaBayas) – Veteran Umno Selangor telah turun padang untuk membantu gerak kerja dan aktiviti yang dilaksanakan oleh Pejabat Koordinator Pembangunan Persekutuan Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer.

Pengerusi Veteran Umno Selangor, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman, berkata ia bertujuan untuk bermesra dengan rakyat sambil mendengar masalah-masalah yang dihadapi dan disalurkan ke peringkat atasan.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas Program Kunjungan Mesra di Sekolah Rendah Agama (SRA) Selayang Baru, di sini pagi tadi.

“Hari ini, Veteran Umno Selangor bekerjasama dengan Koordinator DUN Taman Templer berkunjung ke sekolah ini untuk bermesra dengan pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa serta menyampaikan sedikit sumbangan kepada pelajar,” jelas Ahmad Bhari.

Veteran Umno Selangor berkunjung ke sekolah ini untuk bermesra dengan pihak sekolah, guru-guru dan ibu bapa – Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman, Pengerusi Veteran Umno Selangor

Menurutnya, program tersebut menunjukkan keprihatinan Veteran Umno Selangor supaya pendidikan dapat dipertingkatkan, di samping memberi galakan serta semangat kepada pihak sekolah dan ibu bapa.

Sementara itu, Koordinator Pembangunan Persekutuan DUN Taman Templer, Datuk Ir Mohd Nasir Ibrahim, berkata dia menyambut baik kesudian Veteran Umno Selangor untuk bekerjasama dalam menjayakan sebarang aktiviti yang dianjurkan.

Jelas Nasir, melalui kunjungan ke sekolah tersebut dia mendapati terdapat dua cadangan yang disuarakan iaitu keperluan diwujudkan sekolah integrasi iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah agama di bawah satu bumbung agar tidak membebankan ibu bapa menghantar dan mengambil anak mereka berulang kali setiap hari.

“Satu lagi cadangan adalah keperluan membina Sekolah Menengah Agama (SMA) agar terdapat kesinambungan pendidikan sekolah agama di kawasan Selayang supaya pelajar yang ingin menyambung persekolahan di peringkat menengah dalam bidang agama, kini kebanyakan mereka terhenti sehingga sekolah rendah sahaja,” katanya.

Nasir (bersongkok) menyampaikan sumbangan kepada pelajar SRA Selayang Baru semasa Program Kunjungan Mesra pagi tadi

Tambah Nasir, dia akan membawa cadangan dan aspirasi rakyat ini kepada pihak berwajib supaya ianya menjadi satu kenyataan kepada penduduk di DUN Taman Templer yang dilihat terabai dan kurang diberi perhatian oleh kerajaan Selangor.

“Ini merupakan tujuan program seumpama ini diadakan agar dapat menyelami permasalahan di kawasan Selayang, seterusnya mengetengahkan isu-isu yang dibangkitkan oleh rakyat dapat diperjuangkan khas di kawasan DUN Taman Templer,” katanya lagi.

SHARE
Previous article
Next article135 Pelajar Tahun 1 Terima Sumbangan