Laporan/foto: Nurul Wahida Mohamad Noor/Zaidi Muslimin (Seberang Perai Tengah)

PERMATANG PAUH, 28 Apr (Udabayas) – Dalam masyarakat konvensional, lelaki dilihat lebih berperanan untuk bekerja dan mencari nafkah bagi keluarga manakala wanita pula menguruskan keluarga. Namun begitu, seiring dengan faktor modenisasi dan urbanisasi, fenomena wanita bekerja bukanlah perkara yang janggal dilihat pada masa kini.

Golongan wanita telah mula menonjolkan diri dengan pelbagai aktiviti agar jurang perbezaan gender dapat dikurangkan dan menuntut hak sama rata dengan kaum lelaki. Tidak dapat dinafikan golongan wanita ini dilabelkan sebagai superwoman kerana tuntutan masa kini sebagai pakej lengkap sebagai seorang wanita.

Pertandingan Sepak Penalti mendapat sambutan dari kaum wanita

Ini amat bersesuaian dengan program hari ini agar dapat melahirkan kaum wanita yang cergas dan aktif dalam memantapkan wanita sebagai nadi dan tunggak pembentukan modal insan serta dapat melahirkan generasi yang berkualiti. 

Melalui program ini seramai 1300 orang wanita dihimpunkan dengan pelbagai aktiviti menarik telah berlangsung antaranya ‘Pink Walk 2019’, Aerobik, Pertandingan Bola Jaring, Kempen Kesedaran Hentikan Keganasan Terhadap Wanita, Ceramah Kanser Payudara, Sukaneka, pameran daripada Jabatan dan agensi kerajaan, dan sebagainya. 

Acara Sukaneka lari dalam guni kaum wanita juga di pertandingankan

Rosnani Hamzah antara peserta veteran yang mengambil bahagian dalam program ini begitu teruja dan gembira dapat turut serta dalam program ini yang diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh di mana ia merupakan satu penghargaan dan juga penghormatan khususnya bagi kaum wanita. 

Walaupun beliau telah menjangkau usia 54 tahun namun beliau bersyukur dengan nikmat kesihatan yang dikurniakan dan akan menjaganya dengan sebalik mungkin dengan menjalani gaya hidup sihat malah berharap golongan wanita yang lain tanpa mengira peringkat umur sama-sama mempunyai kesedaran tentang pentingnya menjaga kesihatan. 

Acara Pelepasan ‘Pink Walk 2019’ oleh YB Soon Lip Chee, Exco Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang

Program ini adalah hasil kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang dengan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah serta Jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat. 

Program telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Tuan Soon Lip Chee, Exco Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang dan turut hadir bersama Yang Berhormat Dr Afif Bahardin, Exco Kerajaan Negeri merangkap Adun Seberang Jaya dan juga Rektor UiTM Permatang Pauh.